KOTA BARU: Keadaan banjir di Kelantan pulih sepenuhnya pada Ahad selepas sebuah pusat pemindahan terakhir yang menempatkan 14 mangsa daripada dua keluarga di Kuala Krai, ditutup pada 1 tengah hari. Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Zainuddin Hussin berkata, kesemua mangsa di pusat pemindahan tersebut telah dibenarkan pulang pada tengah hari Ahad. "Secara rasminya kesemua pusat pemindahan yang dibuka sebelum ini telah ditutup sepenuhnya tengah hari ini," katanya ketika dihubungi Bernama. Mengikut laman sesawang kerajaan negeri, ebanjir.kelantan.gov.my, paras air di kebanyakan sungai utama di Kelantan juga menunjukkan trend menurun kepada paras berjaga-jaga dan normal kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang yang mencatatkan paras 9.26 meter (m) yang masih melepasi paras bahaya sembilan meter. - Bernama