KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah tidak akan menghadapi masalah sekiranya pilihan raya umum (PRU) ke-14 diadakan lebih awal kerana tahap kesiapsiagaannya adalah tinggi, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. Beliau berkata semua parti komponen BN Sabah sudah bersedia. "Kalaupun PRU diadakan awal, saya fikir tiada masalah bagi kita untukmelaksanakan tanggungjawab," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina Parti Bersatu Sabah (PBS), pada Ahad. Presiden PBS itu yang telah mengumumkan persaraannya daripada politik apabila tugasnya sebagai wakil rakyat untuk penggal ini tamat, tetap yakin BN paling sesuai untuk mentadbir negeri dan negara. "Kerajaan BN telah bersungguh-sungguh membantu rakyat dalam apa jua segi, manakala pembangkang sentiasa membuat janji yang mereka akan membuat lebih baik daripada BN. "Walaupun masih ada usaha yang perlu dibaiki, namun kesungguhan BN untuk memperbaiki kehidupan rakyat setiap masa telah terbukti kerana BN memang selalu ada usaha untuk memastikan negara terus maju," katanya. -Bernama