suria

Tiga Maut Bot Karam Dekat Pulau Mengalum

Gambar fail.

KOTA KINABALU: Dua lelaki dan seorang wanita maut dalam kejadian bot pelancong karam di perairan dekat Pulau Mengalum, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din malam Ahad.

Mereka adalah antara 25 orang yang dijumpai selepas kejadian bot pelancong jenis Catamaran, yang membawa tiga kru dan 28 pelancong China, karam dalam perjalanan dari Jeti Tanjung Aru di sini ke Pulau Mengalum pada Sabtu.

"Kira-kira 3.30 petang tadi, kami menerima maklumat bahawa dua mangsa telah ditemui di perairan dekat Samarang.

"Kira-kira 6 petang pula, kami mendapat satu lagi maklumat mengatakan 23 mangsa ditemui dekat Samarang tetapi tiga daripadanya mati manakala enam lagi masih dicari," katanya pada sidang berita di sini.

Beliau berkata, identiti mangsa belum dapat dikenal pasti berikutan masalah perhubungan dengan bot nelayan yang menjumpai mangsa itu.

Ramli berkata, tiga mayat itu serta 20 lagi mangsa yang selamat dijangka tiba di Kota Kinabalu awal pagi esok dengan diiringi Pasukan Polis Marin.

Beliau berkata, dua mangsa yang ditemui selamat sebelum ini telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu petang Ahad untuk diambil keterangan.

Mangsa itu dikenali sebagai Aman Abdul, 38 dan Sharezaa Salian Sali, 25, kedua-dua lelaki tempatan.

Menurutnya kejadian itu berlaku kira-kira 10 pagi, sejam selepas bot itu bertolak dari Jeti Tanjung Aru, berikutan cuaca buruk dan laut bergelora.

Polis sedang menyiasat jika terdapat faktor kecuaian dalam kejadian itu. 

Terdahulu, pada sidang media di Lapangan Terbang Sandakan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan enam lagi mangsa.   

Katanya, operasi itu membabitkan aset kapal dan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin serta dua pesawat udara C130 TUDM dan AW139 APMM.  

Pada sidang media sama, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, lokasi penemuan mangsa di perairan Semarang terletak kira-kira 70 batu nautika dari Pulau Mengalum. 

Beliau berkata, faktor penting membawa kepada penemuan mangsa bot karam itu adalah mereka menggunakan jaket keselamatan dan berada dalam kumpulan.  

Ahmad Puzi berterima kasih kepada bot nelayan dan bot tunda yang membantu menyelamatkan mangsa. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain