PUTRAJAYA: Dua bekas pegawai kanan Felda, seorang daripadanya bergelar 'Datuk' yang direman sejak 25 Januari berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes penyelewengan projek ternakan ikan sturgeon bernilai RM47.6 juta, dibebaskan, Jumaat. Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membebaskan kedua-dua individu tersebut dengan jaminan SPRM RM400,000 setiap seorang dengan seorang penjamin. Kedua-dua mereka ditahan di lokasi berasingan di sekitar Lembah Klang bersama-sama tiga lagi individu antara 11.30 pagi dan 1.30 tengah hari pada 24 Januari lepas menerusi Op Caviar SPRM bagi menyiasat dakwaan penyelewengan projek pemindahan teknologi penternakan ikan sturgeon bernilai US$10 juta (RM47.6 juta) sejak 2014. Sebelum ini kelima-lima mereka direman selama seminggu mulai 25 Januari sehingga 31 Januari lepas. Bagaimanapun tiga daripada mereka dibebaskan pada 31 Januari, manakala dua bekas pegawai kanan itu disambung reman selama tiga hari mulai 1 Februari.-- Bernama