suria

Ahli Politik, NGO Sertai Tunjuk Perasaan Larangan Ke AS

KUALA LUMPUR: Sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di luar pejabat Kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi memprotes larangan perjalanan ke negara itu.

Kumpulan meliputi ahli beberapa parti politik dan badan bukan kerajaan mula berhimpun di depan pejabat itu di Jalan Tun Razak pada kira-kira 2.30 petang.

Mereka turut melaungkan slogan berkaitan arahan larangan itu yang berkuatkuasa sejak Jumaat lalu.

Presiden AS, Donald Trump pada minggu lalu menandatangani perintah eksekutif melarang sementara kemasukan warga asing dari tujuh negara termasuk Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman dan larangan kekak terhadap pelarian Syria.

Antara yang turut hadir pada protes itu adalah aktivis, Marina Mahathir; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah.

"Kami tidak menentang dasar demokrasi Amerika. Kami menentang diskriminasi yang bersifat memilih-milih.

"Kami mahu wujud persefahaman antara agama tetapi perintah eksekutif ini telah menggagalkannya," kata Saifuddin.

Memorandum diserahkan kepada wakil kedutaan itu pada kira-kira 3.15 petang.

Sepanjang tempoh mereka berkumpul, pasukan polis mengawal keadaan dan protes itu berjalan lancar.





Trump, AS, Saifuddin Abdullah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain