SELAT MELAKA: Penganjur bagi kapal bantuan kemanusian yang akan berlayar ke Myanmar dan Bangladesh lega apabila dimaklumkan bahawa ia diberikan kebenaran untuk memasuki perairan negara itu. Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengetuai misi itu berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memaklumkan mengenai berita tersebut pada tengah malam Jumaat. Kerajaan Bangladesh sebelum ini dilaporkan tidak membenarkan kapal 'Humanitarian Mission Food Flotilla for Myanmar' berlabuh di Pelabuhan Teknaf, Bangladesh. "Saya agak terganggu (sebelum itu). Bila kita sudah berada di atas kapal, kita diberitahu tidak dibenarkan ke Teknaf. "Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beritahu supaya jangan bimbang, kerajaan Bangladesh akan membenarkan kita masuk," katanya kepada pemberita. Setakat pukul 12 tengah hari Sabtu, kapal 'Nautical Aliya' berada pada kira-kira 40 kilometer di luar pantai Sekinchan. Ia membawa kira-kira 2,200 tan bekal bantuan termasuk makanan untuk komuniti Rohinya di Myanmar yang didakwa berdepan dengan pencabulan hak asasi manusia sejak beberapa tahun. Kapal berkenaan turut membawa seramai 195 sukarelawan dan 15 anak kapal.