suria

Suasana Perkarangan Rumah Mangsa Kebakaran Bertukar Pilu

-fotoCHINAPRESS
PETALING JAYA: Suasana tenang di perkarangan rumah empat sekeluarga yang terkorban dalam kebakaran di Subang Jaya, di sini awal pagi tadi bertukar pilu dengan kehadiran rakan-rakan sekolah mangsa, Lim Yeong Wei, 17.

Rakan-rakan mangsa yang masih berpakaian seragam sekolah kelihatan menitiskan air mata seakan-akan tidak percaya kejadian yang menimpa rakan mereka.

Lim merupakan pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield, di sini yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Guru-guru sekolah dan ibu bapa pelajar dilihat menenangkan dan memujuk rakan mangsa yang tidak dapat menahan kesedihan.

Rakan sekelas Lim, yang ingin dikenali sebagai Wong berkata beliau seorang yang periang dan menghormati guru serta pelajar-pelajar lain.

Katanya Lim adalah pelajar yang pintar dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.

"Dia mesra dengan semua dan selalu menegur 'Hai Cikgu', 'Hai Uncle'... kami rakan sekelas mengetahui berita sedih ini selepas diberitahu oleh guru," katanya yang mengenali Lim sejak Tingkatan 1.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, empat sekeluarga ditemukan maut dipercayai akibat terhidu asap yang banyak selepas rumah mereka terbakar.

Mayat Lim Ah Kok, 59, bersama dua anak lelakinya Lim Yeong Liang, 20, dan Lim Yeong Wei, ditemukan dalam keadaan tertiarap di bilik tingkat atas manakala mayat ibu mereka, Goh Bee Khion, 52, ditemukan di bilik air dalam keadaan terduduk.

Sementara itu, rakan Ah Kok menyifatkannya sebagai seorang individu yang sentiasa ceria dan gemar bersukan.

Andy Ng, 60, yang ditemui di lokasi kejadian berkata beliau mengenali Ah Kok lebih 40 tahun ketika sama-sama menuntut di Sekolah Tinggi Chung Ling, Pulau Pinang.

Menurutnya mereka yang berasal dari Butterworth, juga gemar menghabiskan masa beriadah bersama sekiranya mempunyai waktu lapang.

"Saya tahu mengenai kejadian itu selepas terbaca berita dalam talian dan ianya sangat mengejutkan...saya bergegas ke sini untuk melihat sendiri apa yang berlaku," katanya.

Menurutnya, kali terakhir beliau menemui mangsa adalah kira-kira dua bulan yang lalu ketika bersama beriadah di Taman Wawasan, Puchong.

Di Hospital Serdang, dekat sini, Suzette Chong dan Yvonne, yang berusia lingkungan 30-an, tidak henti menangis selepas kehilangan ibu saudara mereka, Bee Khion.

Menurut Chong, Bee Khion adalah ibu saudara yang penyayang yang mengambil berat ke atas semua anak buahnya dan kerap berhubung dengan mereka.

"Dialah yang menjaga saya sejak saya datang ke Kuala Lumpur lapan tahun lalu. Walaupun saya bukan anaknya, dia menjaga saya seperti anaknya sendiri," katanya yang menjelaskan kali terakhir mereka bertemu adalah pada Jumaat lepas.

Menurut Chong dan Yvonne, mereka menerima berita sedih itu menerusi applikasi Whatsapp kumpulan keluarga mereka sebelum berjejas ke rumah ibu saudara mereka.

"Saya meraikan hari jadi selepas pulang dari Taiwan bersama keluarga ibu saudara saya itu pada 28 Jan lepas, beliau juga berkali-kali menelefon saya untuk melawatnya," kata Yvonne.
kebakaran, Subang Jaya

Artikel Sebelum

Artikel Lain