suria

Ibu Hidap Kanser Payu Dara, Anak Kanser Hormon

KEPALA BATAS: Sudah jatuh ditimpa tangga. Setelah anak perempuannya disahkan menghidap kanser hormon, Siti Kholijah Sudin, 30, pula disahkan menghidap kanser payu dara tahap empat sejak dua tahun lepas.

Ibu tunggal yang hidup sebatang kara dan kini menumpang di rumah bekas mertuanya di Pongsu Seribu, Kepala Batas di sini, berkata anak tunggalnya Nurul Jannah Abdul Rahman, 4, disahkan kanser hormon sejak dilahirkan.

"Pada mulanya saya dapati perut anak saya sedikit kembung dan dia kerap menangis...sehinggakan ada saudara mara menyarankan saya berubat secara tradisional tapi tidak berhasil.

Akhirnya setelah mendapatkan pemeriksaan di Hospital Seberang Jaya dan Hospital Pulau Pinang (HPP), doktor mengesahkan anak saya menghidap kanser hormon," kata Siti Kholijah ketika ditemui di rumah bekas mertuanya di sini, Rabu.

Beliau berkata disebabkan penyakit itu badan anaknya ditumbuhi bulu di seluruh badan dan dikhuatiri mempunyai hormon lelaki sehingga akhir hayat.

Nurul Jannah kini mendapatkan rawatan kimoterapi secara berkala di Hospital Seberang Jaya.

Siti Kholijah berkata kehidupan mereka dua beranak kini bergantung kepada wang bantuan zakat dan ihsan bekas bapa mertuanya yang merupakan seorang pesara.

Bagaimanapun hari ini, dua beranak itu menarik nafas lega apabila menerima sumbangan berupa barang-barang keperluan harian dan dana RM20,000 menerusi AIA Touching Lives Fund.

Ketua Pegawai Eksekutif AIA Public Takaful Elmie Aman Najas ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan barang-barang keperluan itu, berkata dana sebanyak RM20,000 hasil sumbangan kakitangan AIA menerusi aktiviti-aktiviti kebajikan yang dianjurkan badan korporat itu telah dimasukkan ke dalam akaun Siti Kholijah pada akhir Januari lepas.

Sementara itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Siti Kholijah bolehlah berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional miliknya 0212629000236696 atau menghubunginya di talian 019-4981121.-- Bernama


kanser, hormon

Artikel Lain