suria

Takut Kerana Diganggu Bekas Majikan

Lim Thow Siang (kanan) bersama Thang Kang Sheng (tengah) serta ibunya Hee Kai Chen menunjukkan salinan laporan polis dan gambar rumah yang disimbah cat dalam sidang media di Pejabar MCA Pasir Gudang, Selasa.
JOHOR BAHRU: Seorang tukang masak hidup dalam ketakutan sejak empat bulan lalu apabila dirinya sentiasa diganggu oleh bekas majikannya.

Thang Kang Sheng, 18, mendakwa majikannya telah menghantar individu untuk menyimbah cat merah dan air kencing di rumahnya di Taman Senai Utama, di sini.

Beliau berkata, melalui satu siri peristiwa malang, beliau terpaksa berhutang sebanyak RM12,300 dengan majikannya selepas mula bekerja di sebuah pusat perjudian pada Februari tahun lepas.

Semuanya bermula apabila dua daripada rakan Kang Sheng meletakkan pertaruhan pada sebuah mesin judi walaupun diberitahu untuk tidak berbuat demikian.

Akhirnya mereka menanggung kerugian sebanyak RM7,000.

"Majikan kami mendapat tahu dan menyuruh kami bertiga membayar kerugian, walaupun saya tidak terlibat.

"Saya sedang bertugas pada hari itu," katanya, sambil menambah mereka masing-masing perlu membayar kira-kira RM2,300 melalui potongan gaji bulanan.

Beliau kemudian, pada bulan Mei, dipaksa memandu kereta majikannya dari Ulu Tiram ke Taman Molek walaupun tidak mempunyai lesen memandu.

"Malangnya, saya terlibat dalam kemalangan dan kereta itu rosak teruk, kos membaikinya adalah RM8,000.

"Hutang sedia ada saya telah bertambah akibat kemalangan itu," katanya pada sidang akhbar, Selasa.

Kang Sheng berkata majikannya juga menyuruhnya bekerja selama 16 jam berturut-turut kerana kesalahannya dan sebagai satu cara untuk membayar balik hutang dengan lebih cepat.

Lebih teruk lagi, beliau kemudiannya dituduh mencuri RM2,000 dari mesin tunai pusat perjudian ini.

Walaupun menafikan tuduhan itu dan mendesak majikannya melihat rakaman CCTV bagi membuktikan dirinya tidak bersalah, majikannya enggan berbuat demikian.

"Sejak kejadian pertama, saya menurut sahaja permintaan majikan walaupun saya tidak bersalah, tetapi apabila dituduh mencuri, saya tidak tahan lagi.

"Saya memutuskan untuk mengambil RM2,000 dari outlet sebelum melarikan diri untuk beberapa bulan," katanya, sambil menambah majikannya telah mengancam untuk mencederakan dirinya jika tidak memulangkan wang yang dicuri dalam masa dua hari.

Beliau berharap bekas majikannya akan berhenti mengganggu keluarganya dan tampil untuk berbincang kerana beliau bersedia membayar balik wang yang dicuri.

Timbalan Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Pasir Gudang Lim Thow Siang membantu keluarganya membuat laporan polis.

Thow Siang juga menggesa bekas majikan Thang berhenti mengganggu keluarganya dan berharap polis boleh membantu menyelesaikan perkara itu.
pusat perjudian, bekas majikan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain