PETALING JAYA: Dua anjing peliharaan keluarga mendiang Lim Ah Kok yang terselamat dalam kebakaran kini dijaga oleh jiran mereka, Marissa Wong. Dua anjing itu adalah jenis Retriever Golden, berusia lapan tahun bernama Amber dan seekor lagi jenis Miniature Pinscher berusia empat tahun bernama Sugar. Pernah menjaga anjing-anjing tersebut apabila pemiliknya pergi bercuti sebelum ini, Wong berkata beliau tahu di mana anjing-anjing itu ditempatkan di dalam rumah jirannya itu. Wong berkata, ketika pasukan bomba tiba, beliau segera memberitahu mereka bahawa Amber berada di sekitar ruang tamu dan Sugar berada dekat dengan dapur. Beliau berkata Amber berjaya diselamatkan tidak lama selepas itu kerana dia telah memanjat kerusi dan anggota bomba dapat mencapai dan mengangkatnya keluar. Bagaimanapun, beliau berkata Sugar hanya dapat diselamatkan beberapa jam kemudian selepas anggota bomba dapat memecahkan jeriji rumah kira-kira pukul 10.40 pagi. "Saya membantu anggota bomba membawa Sugar keluar dari rumah kerana kakinya terbakar teruk dan tidak sedarkan diri," katanya. Wong, yang turut mempunyai dua anjingnya sendiri, berkata beliau telah membawa Amber dan Sugar berjumpa doktor haiwan dan akan menjaga kedua-duanya sehingga anak perempuan Ah Kok datang mengambilnya. "Doktor haiwan berkata keadaan Amber agak serius kerana paru-parunya terjejas teruk disebabkan asap dan Sugar banyak melecur, tetapi kini stabil. "Kedua-duanya trauma dan menggigil ketika saya membawa mereka pulang. "Doktor haiwan memberitahu saya, kedua-dua anjing itu perlukan sedikit masa untuk pulih seperti biasa," katanya. Penduduk-penduduk di USJ 2 mengingati Ah Kok sebagai ahli yang aktif dan mengasihi keluarganya. Pengerusi Persatuan Penduduk USJ 2 Syed Zain Syed Mohamed berkata Ah Kok merupakan salah seorang ahli yang paling aktif dalam Unit Rondaan Sukarela di kawasan tersebut dalam tempoh enam tahun yang lalu. "Saya masih ingat beliau seorang yang sangat baik hati dan sentiasa mahu mengenali jiran-jirannya. Apabila kami memulakan sistem jagaan berpagar, dia membantu dengan pergi rumah ke rumah untuk mengumpul yuran dan melakukannya dengan senyuman. "Beliau bagaimanapun memperlahankan aktivitinya sejak setahun lalu untuk memberi tumpuan kepada anak-anak," katanya.