ALOR SETAR: Seorang pelajar lelaki tingkatan empat sebuah sekolah menengah di sini mendakwa dibelasah oleh seorang guru disiplin di sekolahnya atas kesalahan tidak berpakaian kemas ketika ke sekolah pagi Rabu. Pelajar berumur 16 tahun itu mendakwa dia ditumbuk di belakang kepala, muka, dan disepak di kaki di hadapan pintu pagar sekolah, pada pukul 7.40 pagi kerana tidak memasukkan baju ke dalam seluar. Selain itu, mangsa mendakwa, lehernya juga dicekak sebelum guru disiplin terbabit mengeluarkan kata-kata ugutan. "Saya tidak melawan ketika dipukul kerana bimbang akan dibuang sekolah sebelum saya menghubungi ayah kerana mula rasa sakit pada bahagian bahu yang pernah patah Oktober tahun lalu. "Tindakan guru itu juga membuatkan saya pening kepala sebelum ayah dan ibu datang mengambil saya pulang," dakwanya ketika ditemui di rumahnya di sini, Rabu. Bapa pelajar itu pula berkata dia terpaksa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sejurus kejadian itu memandangkan tindakan guru itu disifatkan keterlaluan. "Saya tidak kisah sekiranya dia merotan untuk mendidik. Tapi dia seperti samseng dengan mencekik memukul dan menendang anak saya, dan saya tak boleh terima, biarlan polis ambil tindakan dan siasatan," dakwanya. Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika di minta mengulas kejadian itu berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar untuk siasatan. Terdahulu, jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah ketika dihubungi maklum dengan kejadian itu dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyelesaikannya. "Kita juga akan mendapatkan maklumat daripada pihak sekolah terbabit untuk tindakan selanjutnya," kata jurucakap itu. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan. - BERNAMA