BANGI: Lima murid Sekolah Kebangsaan Jalan Empat, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, yang sedang berehat di bawah pondok gazebo cedera setelah struktur itu runtuh pada Rabu. Seorang jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata lima murid yang cedera itu melibatkan tiga pelajar berumur 12 tahun dan dua berumur 11 tahun. "Siasatan awal mendapati kerosakan pada struktur pondok itu menyebabkannya tidak kukuh dan runtuh sebelum menghempap pelajar-pelajar terbabit," katanya. Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Bangi, yang menerima panggilan kecemasan pada 2.38 petang berhubung insiden itu bergegas ke tempat kejadian. Pelajar yang cedera mendapat rawatan di Hospital Kajang dan klinik kesihatan berdekatan, katanya. - BERNAMA