GEORGE TOWN: Seorang wanita yang baru melangkah keluar dari lif terkejut melihat lelaki bogel sedang berlegar-legar di koridor unit pangsapurinya di Relau, di sini. Hanya memakai stokin dan kasut dan memegang kipas di tangan kanannya, lelaki itu tidak mengendahkan wanita berkenaan dan terus berjalan di aras dua bangunan itu pada kira-kira 1 pagi, Rabu. Susulan itu, wanita berkenaan menghubungi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung untuk mendapatkan bantuan. Pengerusinya, Frankie Kee yang juga pegawai khas Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Terubong, Yeoh Soon Hin berkata, anggotanya yang menerima panggilan itu telah mendapat bantuan pihak polis. "Lelaki itu masih berada di bangunan itu ketika tiga anggota kami dan pihak polis tiba di tempat kejadian. "Lelaki itu memberitahu, Dewi Mazu yang memberitahunya supaya berbogel. "Kami cuba memujuknya supaya memakai baju tetapi tidak berkesan. "Bagaimanapun, apabila salah seorang anggota kami berlakon seolah-olah dirasuk Mazu, barulah lelaki itu mengikut permintaan kami dan memakai bajunya. Dia kemudiannya dibawa polis," katanya. Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wanid berkata, lelaki berusia 38 tahun itu telah dihantar ke hospital psikiatrik Jalan Perak untuk pemantauan.