suria

Rasuah: Ibu Tunggal Dipenjara Enam Bulan, Denda RM100,000

MELAKA: Seorang pembantu kedai dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan meminta suapan RM20,000, tahun lepas.

Hakim Mohd Nasir Nordin ketika menjatuhkan hukuman itu terhadap Nooraszlina Ismail, 35, turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Nooraszlina didakwa meminta suapan wang tunai RM20,000 daripada Mohd Rafi Md Hasin sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes Anuar Abdullah yang dikatakan mempunyai kes berkaitan rasuah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Batu 18 1/2 Kampung Lendu Dalam, Alor Gajah, dekat sini, pada pukul 8.15 malam, 3 Februari tahun lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali nilai suapan.

Mengikut fakta kes, pada tarikh dan masa tersebut Mohd Rafi menerima panggilan telefon daripada tertuduh yang memperkenalkan diri sebagai Nora, seorang pegawai SPRM, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Tertuduh telah menyatakan dalam panggilan telefon tersebut bahawa terdapat siasatan SPRM terhadap Anuar dan menetapkan bayaran RM20,000 untuk menutup kes siasatan tersebut.

Dalam rayuannya, Nooraszlina memohon mahkamah meringankan hukumannya kerana beliau ibu tunggal yang menyara lima anak dan ibu bapanya, mempunyai masalah kewangan serta hanya mempunyai pendapatan RM30 sehari sebagai pembantu kedai.

Mohd Nasir, ketika menjatuhkan hukuman, berkata rasuah adalah suatu kesalahan serius dan agama Islam sendiri melarang meminta atau menerima rasuah.

"Walaupun saya bersimpati dengan kamu (tertuduh) kesalahan ini adalah serius. Saya berharap kamu bertaubat dan tidak melakukan kesalahan ini lagi," katanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohammed Heikal Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-- Bernama


Kampung Lendu Dalam, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain