suria

Umat Islam 12 Negara Jayakan Misi Kemanusiaan Flotila

LAUT ANDAMAN: Laungan "Allahuakbar, Allahuakbar!" jelas terdengar dari pembesar suara kapal Nautical Aliya yang kini dalam misi kemanusiaan flotila bagi membantu etnik Rohingya di Myanmar.

Begitulah setiap pagi kira-kira pukul 5.40 pagi menjelang waktu solat Subuh.

Ketika itu, sukarelawan misi kemanusiaan yang beragama Islam akan bersiap dengan mengenakan baju Melayu atau jubah menuju ke kawasan yang dikhaskan untuk beribadat.

Suasana dengan lampu yang agak kelam di bahagian kapten mengawal kapal itu, mereka menghadap kiblat untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan semua.

Kapal itu dalam perjalanan ke Myanmar dan Bangladesh dengan membawa muatan 2,300 tan untuk etnik Rohingya di kedua-dua negara itu.

Selain itu, turut sama adalah 185 sukarelawan dari 12 negara di mana majoritinya adalah umat Islam.

Ketika itu, pulau paling dekat adalah kira-kira 200 kilometer (km) di timur Thailand dan satu lagi di sebelah barat iaitu kira-kira 400 km adalah Pulau Andaman.

Ribuan etnik Rohingya melarikan diri ke negara jiran akibat kekejaman di Myanmar mengikut jalan laut dan darat.

Selepas solat, Mohd Azmi Abdul Hamid, 59 yang juga salah seorang penganjur misi itu menyampaikan kuliah subuh untuk jemaahnya.

Ia berlegar isu perbezaan agama yang tidak menghalang kepada perpaduan dengan umat dunia dengan pelbagai bangsa, bahasa dan budaya.

Turut bersama ketika itu, sukarelawan Perancis berasal dari Cameroon, Moussa Yacoub, 39.

"Misi yang kita sertai ini juga memberi peluang untuk menyatukan semua pihak," katanya sambil menyelak helaian satu daripada 1,000 al-Quran yang akan diagihkan kepada kumpulan sasar misi itu.

Sepanjang pelayaran itu, solat berjemaah diadakan tiga kali sehari, manakala sukarelawan Islam lain akan menunaikan solat wajib dua lagi waktu di bilik masing-masing.

Begitulah situasinya sehingga misi ini tiba ke destinasi pada Ahad ini dan semoga matlamat untuk membantu golongan yang ditindas itu menjadi kenyataan.

Rohingya, Nautical Aliya

Artikel Sebelum

40 Sekeluarga Dikuarantin

Artikel Berikut

Artikel Lain