suria

Datuk Antara Empat Ditahan, Skim Pelaburan Tipu 1,000 Mangsa Cecah RM55 Juta

SHAH ALAM: Polis menahan empat suspek termasuk seorang Datuk berusia 47 tahun berhubung kegiatan skim pelaburan melibatkan sekurang-kurangnya 1,000 mangsa yang mengalami kerugian mencecah kira-kira RM55 juta.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Superitendan Mazelan Paijan berkata, pasangan suami isteri berusia 31 dan 30 tahun ditahan pada 6 Februari selepas sembilan laporan dibuat terhadap mereka.

Katanya, lelaki bergelar Datuk itu pula ditahan di Puchong , manakala wanita berusia 30 tahun pula diberkas di Kajang pada 8 Februari lalu.

Beliau berkata, pasangan suami isteri itu telah memperoleh tender daripada Kementerian Pertahanan untuk membekalkan uniform penyamaran.

"Bagi memperdaya mangsa, mereka mendakwa tidak memiliki wang yang cukup untuk memenuhi syarat tender dan berjanji pulangan antara 30 hingga 90 peratus kepada pelabur," katanya.

Mazelan berkata, polis mengesan operasi kumpulan ini apabila seorang kerani dari Terengganu membuat laporan polis mendakwa dia bersama 40 pelabur lain telah ditipu sejumlah RM1.7 juta pada 8 September 2016.

"Kerani itu mendakwa dia telah mengumpul pelabur selepas mendapat tahun mengenai skim  berkenaan daripada pihak ketiga.

"Kami kemudiannya menyiasat sebelum menahan pasangan suami isteri itu di sebuah pangsapuri mewah di Bukit Jelutong," katanya.

Mazelan juga berkata, pasangan itu beroperasi dari rumah kedai dua tingkat di Taman Melawati.

"Wanita itu adalah rakan kongsinya dalam syarikat dan bekerja untuk mencari pelabur, manakala Datuk itu menerima RM14 juta untuk memperoleh tender projek menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia di Pahang," katanya.

Beliau berkata, polis juga merampas pelbagai dokumen, cek, buku cek, empat telefon bimbit dan komputer riba Macbook.

"Sebuah Mercedes E250 dan BMW 328GT turut dirampas daripada suspek," katanya sambil menambah pihaknya sedang mengesan lapan lagi kenderaan yang dipercayai dibeli suspek menggunakan nama berbeza.


Mazelan Paijan, Selangor, Datuk

Artikel Lain