suria

Zahid Nafi Ada Menteri Letak Jawatan, Nama Anifah Disebut

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dihadapan kira-kira 10 ribu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) seluruh Sabah pada Sambutan Hari Ulang Tahun RELA ke-45 Peringkat Kebangsaan di Padang Merdeka, Sabtu.

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan dakwaan ada menteri kanan meletak jawatan sebagai satu pembohongan oleh Menteri Besar Selangor.

"Saya ingin mengesahkan bahawa tidak ada sebarang peletakan jawatan oleh mana-mana menteri kanan. Saya tahu Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) merujuk status laman sosial beliau (kepada) Datuk Seri Anifah Aman (iaitu) Menteri Luar, telah meletak jawatan," katanya di sini, Sabtu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Anifah ada bersama beliau di sini malam tadi sebelum Menteri Luar itu berangkat ke Brussels, Belgium hari ini atas kapasitinya selaku menteri. 

"Ertinya Menteri Besar (Selangor) itu cuba membohongi rakyat terhadap (melalui) berita yang tidak benar," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Rela ke-45 Peringkat Kebangsaan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, menteri-menteri persekutuan dan negeri serta Ketua Pengarah Rela Zulkifli Abidin.

Menurut Ahmad Zahid, malam tadi beliau dan Anifah bersama-sama menghadiri program Umno Sabah dan gambar beliau bersama Anifah kemudian ditularkan oleh Musa menerusi laman sosial Twitter.

Timbalan Perdana Menteri itu juga menjangkakan lebih banyak pembohongan akan dibuat seperti yang berlaku pada dua pilihan raya umum lalu.

Semalam, Mohamed Azmin memuat naik status berbentuk pertanyaan menerusi akaun Twitternya mengenai seorang menteri kanan telah meletak jawatan.

Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor tersebut selain meminta Mohamed Azmin mengemukakan nama menteri yang dimaksudkan.-- Bernama


Ahmad Zahid, Rela, Anifah

Artikel Lain