suria

Program MyLesen Kurang Dapat Sambutan - JPJ

Yusoff (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta program SKSJ di Dewan Orang Ramai, Kampung Melayu Sri Kundang pada Sabtu.

GOMBAK: Program myLesen yang diperkenalkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak September 2015 kurang mendapat sambutan di kalangan belia meskipun kos yang ditawarkan untuk mendapatkan lesen motosikal kelas B2 itu jauh lebih rendah iaitu RM299.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Yusoff Ayob berkata sikap orang ramai yang tidak menitikberatkan soal keselamatan dikenal pasti sebagai punca program tersebut kurang mendapat sambutan. 

"Ini berbalik pada sikap, kita tak pentingkan soal keselamatan. Kalau pentingkan keselamatan ini peluang terbaik.

"Melalui MyLesen kita hanya caj RM299, kalau program biasa RM350 hingga RM450. Itupun tidak diambil kesempatan oleh masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Daerah Gombak di Kuang, Selangor pada Sabtu.

Pada majlis itu, seramai 350 peserta SKSJ berjaya mendapat lesen motosikal kelas B2.

Mengulas lanjut mengenai program MyLesen, Yusoff berkata program itu diperkenalkan bagi memberi peluang kepada kira-kira 3.6 juta penunggang motosikal memiliki lesen terutama golongan belia dan remaja.

Namun, katanya, inisiatif itu tidak digunakan sebaik mungkin, selain sikap sambil lewa ibu bapa membenarkan anak mereka yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal ke sekolah.

Jelas beliau, berdasarkan statistik jabatan itu pada tahun lalu, seramai 172, 535 pelajar sekolah iaitu golongan sasaran program tersebut menggunakan motosikal untuk ke sekolah.

Namun, katanya, dari jumlah tersebut kira-kira 117, 268 tidak memiliki lesen motosikal.

"Ini bermakna yang ada lesen hanya 55, 267 orang sahaja. Jadi kita harap sambutan lebih banyak selepas ini sebab kita nak kurangkan kadar kemalangan di jalan raya terutamanya membabitkan penunggang motosikal," katanya.

Justeru, beliau turut menasihati pemilik motosikal supaya menghentikan perbuatan membenarkan penunggang tanpa lesen kerana ia merupakan penyumbang terbesar kadar kemalangan membabitkan kematian setiap tahun.

"Kita sedia maklum bahawa kemalangan membabitkan motosikal mencatatkan peningkatan saban tahun.

"Oleh itu, kita syorkan orang ramai sertai program MyLesen kerana pakej yang ditawarkan jauh lebih murah untuk mendapatkan lesen sah," katanya.

Program Mylesen adalah antara pendekatan alternatif JPJ untuk mengurangkan kadar kemalangan kerana orang ramai yang menyertai program itu akan diajar mengenai kaedah penunggangan selamat dan undang-undang jalan raya sebelum diberi lesen.


MyLesen, JPJ

Artikel Lain