BENTONG: Kepimpinan dalam DAP kini sedang berpecahberikutan tindakan tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan seorang anggota Parlimen DAP Melaka keluar parti. Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, situasi berkenaan turut menggambarkan kekalutan politik dalam kalangan pemimpin DAP. "Ini bukan sahaja sedang berlaku di Melaka malah di tempat lain", katanya kepada pemberita dekat sini, Ahad. Tiga Adun itu ialah Lim Jak Wong (Bachang), Chin Choon Seong (Kesidang) dan Goh Leong San (Duyong) serta Anggota Parlimen, Sim Tong Him (Kota Melaka). Tindakan itu disahkan Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew pada sidang media di pejabat DAP Negeri di Melaka pada Ahad. Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan berkata, tindakan empat wakil rakyat DAP itu menunjukkan sikap sebenar kepimpinan parti itu yang membuat keputusan untuk kepentingan diri tanpa mengambil kira pihak lain. -Bernama