PORT DICKSON: Tragedi malang pesawat MH370 Malaysia Airlines dan kes penculikan khususnya di Sabah yang melibatkan warganegara China tidak menjejaskan kedatangan pelancong negara Tembok Besar itu ke negara ini. Konsul Jeneral Malaysia di Kunming, Datuk Siow Chen Pin berkata ini dapat dilihat menerusi peningkatan jumlah kedatangan pelancong dari China yang merekodkan seramai 1.68 juta orang pada 2015, iaitu peningkatan empat peratus berbanding jumlah kedatangan pada 2014. Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun lepas, jumlah kedatangan yang direkodkan adalah sebanyak 1.75 juta pelancong, katanya kepada pemberita pada majlis perasmian program FAM Trip Media Antarabangsa yang disertai 19 wakil media dari China. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan Datuk Mohamad Razi Kail. Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar setelah berlepas dari Kuala Lumpur menuju Beijing pada pagi 8 Mac 2014. Pesawat itu belum dijumpai walaupun gerakan mencari secara besar-besaran dilakukan di selatan Lautan Hindi, kawasan ia dipercayai mengakhiri penerbangannya setelah melencong daripada laluan asal. Mengulas lanjut, Siow berkata pihaknya telah meluluskan sejumlah 200,000 permohonan visa ke Malaysia dari wilayah Yunnan pada tahun lepas dan menyasarkan sejumlah 300,000 permohonan pada tahun ini. Beliau berkata bagi meningkatkan lagi jumlah kedatangan pelancong ke negara ini, selain menggunakan penerbangan AirAsia, rakyat China juga boleh menggunakan pesawat Lucky Air yang melakukan penerbangan dengan kekerapan empat kali seminggu dari Kunming ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Sementara itu, Mohamad Razi berkata Negeri Sembilan menyasarkan kehadiran sejumlah 8 juta pelancong pada tahun ini berbanding 7 juta pada tahun lepas. "Di Port Dickson, misalnya, kita mempunyai 16,000 bilik yang mampu menampung kedatangan pelancong ke pusat peranginan ini yang mempunyai pantai yang cantik sepanjang 13 kilometer dan kita menyediakan prasarana yang terbaik," katanya seperti dilaporkan Bernama.