KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan lima kru sebuah bot jenis katamaran yang mengalami kerosakan enjin ketika membawa sembilan pemancing di kawasan perairan berhampiran Pulau Batu Sapi, petang Isnin. Pengarah APMM Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim, Adam Aziz berkata, kesemua kru bot berkenaan tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sepanggar kira-kira 10 malam dan tidak mengalami sebarang kecederaan. "Semasa memancing, kedua-dua enjin bot berkenaan mengalami kerosakan. Pihak Sutera Harbour Resort kemudian menghantar dua bot untuk memberi bantuan selepas dihubungi pemilik bot berkenaan. Sembilan pemancing berkenaan kemudian berjaya dibawa balik ke jeti Sutera Harbour. Lima kru bot yang mengalami kerosakan berkenaan bagaimanapun enggan menaiki bot penyelamat yang dihantar pihak Sutera Harbour dengan alasan ingin memperbaiki enjin bot itu terlebih dahulu, kata Adam. Bagaimanapun katanya, APMM terpaksa menghantar sebuah aset penyelamat pada 5.25 petang selepas pemilik bot berkenaan menghubungi APMM untuk mendapatkan bantuan kerana bimbang dengan keselamatan lima krunya akibat keadaan cuaca buruk dan laut bergelora. Kesemua lima kru bot berkenaan kemudian dibawa keluar dari pangkalan TLDM Sepanggar oleh pemilik bot berkenaan pada 11 malam. Adam menasihati komuniti maritim agar sentiasa memastikan bot mereka sentiasa dalam keadaan baik sebelum keluar ke laut selain melengkapkan bot dengan alat telekomunikasi serta jaket keselamatan yang mencukupi sebagai langkah keselamatan. - Bernama