KUALA LUMPUR: Pengiring penumpang teksi dikenali sebagai Alang dipercayai individu terakhir melihat kelibat wanita yang disyaki pembunuh Kim Jong-nam di KLIA2. Alang yang mengiringi ribuan penumpang di lapangan terbang itu bagaimanapun berkata, dia tidak ingat pertemuannya dengan wanita yang diberi jolokan Ms Poison di kalangan media itu. Bagaimanapun, susulan berita pembunuhan pada Isnin di lapangan terbang itu, lelaki berkenaan yang turut kelihatan dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengetip kupon teksi itu dihujani dengan panggilan daripada keluarga, rakan dan juga polis. "Saya rasa tertekan. Mereka bertanya apa yang saya boleh beritahu mereka atau apa yang saya ingat. Saya tidak ingat apa-apa. "Cuba lihat berapa ramai orang yang ada di sini dan kupon yang saya ketip, bagaimana saya boleh ingat mereka? Bukannya saya tidak mahu bantu," katanya yang baru tiga minggu bertugas di KLIA2. Menurut laporan, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un itu diserang oleh dua wanita dengan memercik cecair beracun pada mukanya. Sekurang-kurangnya seorang daripada mereka berkulit cerah, memakain baju putih dan skirt pendek biru dilihat sedang menunggu untuk menaiki teksi di lapangan terbang itu. Ketika ini, polis masih memburu kedua-dua wanita itu.