suria

Iktibar Kisah Khuzairy Hilang Dari Pandangan

ASSALAMUALAIKUM. Setelah menyempurnakan ibadat umrah, sebahagian besar jemaah lazimnya akan memperbanyak solat berjemaah di Masjidil Haram, selain merebut peluang untuk menunaikan tawaf sunat.

Begitu jugalah dengan jemaah Kembara Umrah Anak Syurga yang turut berulang alik dari hotel penginapan di Mira Ajyad untuk ke masjid pada setiap hari.

Minggu ini saya mencoretkan kisah anak istimewa berusia 20 tahun iaitu Mohd Khuzairy dari Pemulihan Dalam Komuniti Titiwangsa yang bermasalah pembelajaran. Dia ditemani ibunya, Nor Aziah dan kedua-duanya baru kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Biarpun Mohd Khuzairy ditemani ibunya, namun, dia lebih kerap dan kelihatan selesa ke mana-mana dengan pengiring, Mohd Zaini Jamil. Lazimnya, apabila ke masjid, mereka pergi bersama-sama Rozidi, Mohd Izanuddin atau Along dan Muhaimin.

Mohd Khuzairy, bertubuh kecil dan pendiam. Sesekali dia tersenyum apabila mendengar usikan Along pada saya. Dia memahami setiap percakapan orang lain tetapi sangat jarang mendengarnya membuka mulut.

Lazimnya, dia sekadar memerhati dan tersenyum. Apabila ditanya baru dia jawab. Kadangkala terbit kebimbangan kerana dia terlalu pendiam dan tidak begitu mengendahkan persekitaran. Namun, apa yang berlaku padanya pada suatu pagi membuktikan Mohd Khuzairy peka dengan keadaan sekeliling.

“Aunty, Khuzairy hilang,” ujar Muhaimin pada suatu pagi ketika ternampak saya di dewan makan selepas pulang dari solat Subuh.

“Hah? Macam mana boleh jadi macam tu?” tanya saya dengan nada terperanjat. Sukar gambarkan kebimbangan saya ketika itu.

“Masa solat Subuh tadi. Kami terpisah sebenarnya. Dia, uncle Zaini dan Along solat di tempat lain.

Saya dan Rozidi di tempat lain,” balas Muhaimin.

Tidak lama selepas itu, saya terlihat Mohd Khuzairy keluar dari lif. Bersama-samanya Mohd Zaini.

“Dia hilang sekejap tadi,” ujar Mohd Zaini.

“Kenapa?” tanya saya ringkas.

“Along memang selalu pegang lengan saya tapi Khuzairy lebih suka jalan sendiri,” balas Mohd Zaini.

“Macam mana boleh jumpa semula?” tanya saya.

“Saya baru nak cari dia semula tapi tiba-tiba dia dah ada di depan tangga hotel,” ujar Mohd Zaini.

“Alhamdulillah. Dia ingat jalan nak balik,” ujar saya.

“Saya pernah tanya mereka (insan istimewa) ingat tak jalan hendak balik ke hotel dan mereka cakap ingat. Alhamdulillah, Khuzairy tahu nak jalan balik,” balas beliau.

Dalam hati saya berkata-kata, anak ini nampak saja pendiam tetapi hakikatnya dia memahami serta mampu mengingati laluan pulang ke hotel Mira Ajyad.

Tidak sangka juga Mohd Khuzairy tahu dan ingat jalan pulang ke hotel penginapan kerana bukan semua orang mampu mengingati laluan itu sebab pernah seorang jemaah saya tersasar laluan bersama-sama anaknya kerana tersilap laluan.

Kedua-dua beranak itu terpaksa berjalan jauh dan akhirnya mengambil teksi setelah bermandi peluh. Jemaah itu mengambil keputusan menaiki teksi dan menunjukkan kad alamat hotel pada pemandu.

Pada masa itu, April 2011, kami duduk di Saraya Ajyad yang terletak sebaris dengan hotel Mira Ajyad.

Insiden Mohd Khuzairy hilang seketika itu turut mengimbau peristiwa anak saya, Aliff, terlepas daripada pandangan ayahnya ketika keluar dari Masjidil Haram setelah solat Asar. Dua kali Aliff berjalan bersendirian mencari saya setelah tidak nampak ayahnya.

Segala-galanya masih segar di ingatan walaupun insiden itu berlaku pada Disember 2013. Saya sering mengingatkan suami agar memerhatikan Aliff, apatah lagi setiap kali keluar dari masjid.

Aliff tidaklah pendiam seperti Mohd Khuzairy tetapi dia juga anak istimewa yang bermasalah pembelajaran. Dalam insiden pertama, dia tidak bertemu ayahnya di depan pintu masjid tetapi berjaya mencari saya di tempat yang sering saya tunggu mereka (suami dan Aliff).

Sejurus melihat Aliff saya bertanya:

“Mana ayah?” tanya saya

“Entah. Kita tak nampak. Tiba-tiba ayah tak ada, masa kita nak pakai selipar,” balas Aliff.

Tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan telefon daripada suami dengan nada cemas mengatakan Aliff tiada sejurus dia menyarung selipar.

“Dia dengan saya. Di tempat yang selalu kita jumpa. Awak datang sinilah,” ujar saya.

Aliff tersenyum mendengar perbualan saya.

Insiden kedua pula sangat memeranjatkan saya dan adiknya yang ketika itu sedang berjalan menuju ke hotel penginapan kami di Jawharat Hussain. Ketika itu, hujan renyai-renyai dan kami berjalan perlahan kerana agak ramai jemaah pada petang berkenaan.

“Umi…umi…” terdengar suara seakan-akan suara anak saya itu.

“Eh macam suara abang (Aliff),” ujar saya pada anak perempuan saya, Hajar.

Saya dan Hajar menoleh dan tepat jangkaan saya, Aliff berlari menuju saya dan berkata tunggu kita.

“Abang tahu ke nak balik hotel?” tanya saya.

“Tahu, tu hotel kita duduk,” balas Aliff ketika itu.

“Alhamdulillah, abang tahu tempat kita duduk,” balas saya.

Tidak lama selepas itu saya menerima panggilan telefon daripada suami.

“Aliff ada dengan awak ke? tanya suami.

“Ada. Dia kejar saya nak balik hotel,” balas saya.

“Macam mana boleh jadi lagi?” tanya saya pula.

“Saya tak perasan dia, tiba-tiba dia dah tak ada,” ujar suami.

“Oklah, jumpa di hotel,” balas saya.

Berbalik kepada kisah Mohd Khuzairy, saya kemudiannya menasihatkannya agar memegang tangan Mohd Zaini terutama di sekitar masjid kerana bimbang perkara yang sama boleh berulang.

Mohd Khuzairy kemudiannya beratur mengambil hidangan nasi impit dan kuah kacang yang disediakan untuk sarapan pada pagi itu.

Ibunya, Nor Aziah turut menasihatkan anaknya itu agar sentiasa bersama-sama dalam kumpulan dan memegang tangan Mohd Zaini, Rozidi atau Muhaimin.

Alhamdulillah, insiden yang sama tidak berulang bukan saja kepada Mohd Khuzairy malah semua insan istimewa yang dibawa.

Hakikatnya, tersesat atau hilang daripada pandangan perkara biasa dan boleh berlaku pada sesiapa sahaja namun jika kita ingat laluan ke hotel penginapan, insha Allah masalah itu boleh diatasi. 

Paling penting, jemaah perlu memastikan membawa tag nama dan kad yang tertera alamat hotel di dalam beg galas yang dibekalkan oleh agensi pengendali umrah.

Ini kerana ,jika tersesat, jemaah boleh tunjukkan kad alamat hotel kepada individu lain yang boleh membantu menunjukkan laluan ke hotel penginapan.

Justeru, usah pandang ringan atau mudah pemakaian tag nama yang dibekalkan kepada setiap jemaah. Pastikan anda menyarungnya walau di mana saja berada demi menjamin keselamatan kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Kisah jemaah terlupa nama hotel dan tersesat atau tersilap tidak tahu jalan pulang memang lazim kita dengar tetapi jika tag nama dan kad alamat hotel dibawa bersama di dalam beg galas, insyaAllah masalah yang dihadapi boleh diatasi dengan bantuan daripada jemaah lain mahupun sekuriti di Masjidil Haram.

Ikuti catatan selanjutnya mengenai ziarah lokasi bersejarah bersama-sama insan istimewa minggu depan insyaAllah.

Artikel Lain