PETALING JAYA: Abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un iaitu Kim Jong-nam dipercayai memasuki Malaysia menggunakan pasport diplomatik menggunakan nama Kim Chol. Menurut sumber kepada mStar Online, pasport bernombor 836410070 merupakan dokumen perjalanan milik lelaki warga Korea Utara bernama Kim Chol. "Mengikut rekod, kemasukan 'Kim Chol' adalah pada 6 Februari 2017 dan berdasarkan dokumen perjalanan itu, ia merupakan kemasukan pertama kali ke Malaysia," katanya. Sumber itu bagaimanapun memberitahu tidak dipastikan sama ada individu yang menggunakan pasport 'Kim Chol' adalah Kim Jong-Nam. "Ini kerana 'Kim Chol' menggunakan pasport diplomatik, jadi tidak memerlukan dia menjalani pemeriksaan biometrik di kaunter imigresen sewaktu masuk ke Malaysia," katanya. Menurut sumber, terdapat kemasukan lelaki warga Korea Utara di atas nama Kim Jong-Nam ke Malaysia. Bagaimanapun kata sumber, mengikut rekod, Kim Jong-Nam tersebut dilahirkan pada 27 Februari 1986, dan bukannya 10 Jun 1970. Tambahnya, 'Kim Jong-Nam' yang berusia 31 tahun itu telah tiga kali masuk ke Malaysia dan telah keluar dari negara ini pada 12 Ogos 2016. "Mungkin ini Kim Jong-Nam yang lain kerana tarikh lahirnya tidak sama," katanya. Dilaporkan, Kim Jong-Nam yang mati dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada pagi Isnin dipercayai menggunakan pasport di bawah nama Kim Chol. Bagaimanapun menurut sumber, lelaki warga Korea Utara itu belum lagi melalui kaunter imigresen untuk pelepasan ke luar negara. Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Selasa malam berkata, identiti seorang lelaki warga Korea Utara berusia 46 tahun yang meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital dikenal pasti sebagai Kim Chol berdasarkan dokumen perjalanannya. Beliau berkata, pasport Kim Chol bernombor 836410070 dan dilahirkan di Pyongyang pada 10 Jun 1970.