KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi keutaman kepada keluarga 'Kim' untuk menuntut mayat Kim Jong-nam di Institut Perubatan Forensik Negara Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini. Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, selain itu pihaknya juga menerima tuntutan pihak kedutaan Korea Utara. "Tuntutan hanya kita terima daripada kedutaan Korea Utara, tapi keutamaan kita adalah daripada waris, dan kita sedang berusaha termasuk pengecaman mayat, keduanya untuk tahu siapa yang akan menuntut dan untuk mendapat kepastian. "Bedah siasat sudah dibuat, tapi keputusan bedah siasat belum dikeluarkan lagi," katanya ketika dihubungi Bernama News Channel (BNC) di sini, Jumaat. Isnin lepas, Jong-nam dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila secara tiba-tiba seorang wanita dikatakan menekup mukanya dengan kain yang mengandungi cecair beracun. Jong-nam yang menggunakan nama Kim Chol pada pasportnya, dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. - Bernama