suria

Pembunuhan Jong-nam: Siti Aisyah Pendiam, Pernah Kerja Di Malaysia

Siti Aisyah

PETALING JAYA: Suspek kedua yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un digambarkan sebagai seorang pendiam dan bekerja sebagai penjaga kedai di sini.

Siti Aisyah, 25, yang lahir di Serang wilayah Jawa Barat dilaporkan telah datang ke Malaysia bersama suaminya, Gunawan Hasyim atau lebih dikenali sebagai Ajun untuk bekerja, lapor media Indonesia.

Bagaimanapun, pada 2012, pasangan itu telah bercerai kerana Siti Aisyah didakwa curang dan Ajun terus pulang ke Jakarta Barat.

"Dulu dia pernah bekerja di Malaysia dengan anak saya, tak lama selepas Neng (nama panggilan Siti Aisyah) melahirkan anaknya.

"Saya lupa berapa tahun mereka di sana," kata bekas ibu mertua Siti Aisyah, Lian Kiong, 56, memetik news.detik.com.

Lian Kong atau lebih mesra disapa sebagai Akiong ditemui di kediamannya di Tambora, Jakarta Barat, Khamis.

Sebelum bekerja di Malaysia, Ajun telah bekerja di syarikat milik bapanya, Gang Kacang, yang terletak di Tambora, Jakarta Barat.

Siti Aisyah yang pada masa itu bekerja di syarikat yang sama telah menjalinkan hubungan cinta dengan Ajun selama beberapa bulan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

Majlis perkahwinan sebelah perempuan turut diadakan di kampung halaman Siti Aisyah iaitu di Serang, Banten.

"Sekitar tahun 2009 mereka dikurniakan anak yang dilahirkan di Serang.

"Anak itu kemudian dibawa kepada saya untuk dijaga," katanya.

Akiong yang perniagaannya mula goyang pada ketika itu telah mencadangkan kepada Ajun dan Siti Aisyah untuk bekerja di Malaysia.

Bagaimanapun Akiong tidak tahu di mana lokasi kedua-kedua mereka bekerja di Malaysia.

"Saya tak berapa tahu di mana. Yang saya tahu anak saya kerja di restoran dan dia beritahu saya Neng bekerja sebagai penjaga kedai," katanya.

Beberapa tahun selepas bekerja di Malaysia, Ajun kembali ke Jakarta Barat, tetapi tanpa Siti Aisyah.

Menurut Akiong walaupun telah bercerai dengan anaknya, Siti Aisyah pernah beberapa kali singgah ke rumahnya untuk melihat anaknya, Rio yang berusia tujuh tahun.

Kali terakhir Siti Aisyah bertemu Rio adalah pada 28 Januari lalu. Pada 2016, dia juga datang menjenguk anaknya pada Aidilfitri.

Sementara itu, Siti Aisyah telah disifatkan oleh rakan-rakannya sebagai seorang yang pendiam.

“Tak sangka dia ditangkap kerana membunuh. Orangnya pendiam, susah mahu menjawab kalau ditegur,” kata salah seorang rakan yang hanya mahu dikenali sebagai Ida.

Ida berkata Siti Aisyah jarang keluar dari rumah dan bergaul dengan jiran sekeliling.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain