LUNDU (Sarawak): Semua 16 pusat mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu mula dibuka tepat 8 pagi Sabtu bagi membolehkan 9,771 pengundi menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka. Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daerah Lundu mempunyai pengundi paling ramai berjumlah 1,906 orang yang akan menunaikan tanggungjawab masing-masing di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua. Daerah Perigi mencatatkan bilangan pengundi paling sedikit iaitu 171 pengundi. PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian penyandangnya, yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lalu, di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan. PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amar Jamilah Anu, yang merupakan balu Adenan, calon Parti Reformasi Negeri Sarawak (Star), Johnny Aput dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Rapelson Richard Hamit. Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 Mei lalu menyaksikan Adenan, 72, memperoleh 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi. Tinjauan awal mendapati proses pengundian pagi Sabtu dilihat berjalan lancar meskipun hujan renyai sejak awal pagi tidak menghalang pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka. Sementara itu, tinjauan di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua mendapati beberapa pengundi telah berada di pusat pengundian seawal 7.30 pagi. Turut kelihatan Rapelson yang turut hadir bersalaman dengan para pengundi di sekolah berkenaan. Sebelum ini, seramai 188 pengundi, atau 1.9 peratus daripada 9,959 pengundi, menunaikan tanggungjawab mengundi di dua pusat pengundian awal yang dibuka pada 12 Februari lepas. SPR menjangka keputusan PRK Tanjong Datu dapat diperoleh seawal pukul 8 malam Sabtu. - BERNAMA