KANGAR: Sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang terkandas di puncak Gunung Baling, Kedah pada Sabtu melakukan aktiviti tersebut atas inisiatif mereka sendiri tanpa melalui saluran universiti. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Madya Mohd Foad Sakdan berkata seharusnya para pelajar yang ingin menjalankan aktiviti lasak atau mendaki gunung perlu mendapat pengawasan daripada pihak yang bertauliah untuk tujuan keselamatan. "Setiap aktiviti lasak yang ingin dianjurkan perlu melalui saluran universiti, perlu ada penunjuk arah dan mematuhi langkah-langkah keselamatan lainnya termasuk mempersiapkan insurans aktiviti berkelompok yang kebiasaannya menjadi amalan universiti. "UniMAP senantiasa akan membantu menyelaras aktiviti pelajar termasuk aktiviti lasak dan pendakian melalui kelab dan persatuan yang ada di UniMAP bagi mengatasi risiko kejadian tidak diingini," katanya menerusi kenyataan di sini. Dalam kejadian semalam, difahamkan sekumpulan pelajar UniMAP yang mendaki gunung itu kira-kira 5 pagi, terkandas di puncak Gunung Baling, Kedah, selepas seorang daripada mereka tergelincir dan mengalami kecederaan. Kemudian mereka menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan, susulan kecederaan yang dialami Nor Atirah Mohamad, 23, yang terseliuh kaki kiri. UniMAP melalui Persatuan Alumninya sememangnya aktif menganjurkan aktiviti pendakian gunung dengan yang terbaru Ekspedisi Gunung Kerinci di Sumatera, Indonesia pada 25 hingga 29 Januari lalu selain menawan Puncak Kinabalu pada Mei tahun lalu. - BERNAMA