KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki bergelar 'Datuk' merupakan antara 25 individu yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin terhadap pertuduhan berjudi sabung ayam pada awal bulan ini. Kesemua tertuduh yang berusia antara 20 dan 69 tahun, masing-masing didenda RM500 dan penjara satu minggu jika gagal membayar denda oleh Majistret Marutin Pagan. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah gelanggang sabung ayam di Taman Berlian di sini pada 5 Feb lepas mengikut Seksyen(3)(1) Ordinan Pencegahan Penganiayaan Kepada Binatang 1973. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azhari Yusof. 'Datuk' berusia 69 tahun itu yang juga bekas anggota Parlimen di negeri ini diwakili peguam Arthur Lee, manakala lain-lain tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA