suria

Diheret Ke Lokap Akibat Sebut "Bom"

KOTA KINABALU: Luahan perkataan "bom", barangkali hanya untuk gurauan, rupa-rupanya membawa padah buat seorang lelaki yang bakal menaiki pesawat Royal Brunei Airlines (RBA) ke Bandar Seri Begawan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) awal pagi Rabu.

Lelaki berusia 40 tahun itu diheret dan ditahan di Lokap Berpusat Kontinjen Sabah di sini untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu Asisten Komisioner M.Chandra berkata lelaki yang berasal dari Sarawak dan berstatus pemastautin tetap Brunei Darussalam ditahan selepas kakitangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) membuat laporan di balai polis KKIA, kira-kira jam 8.03 pagi. 

"Suspek mengeluarkan perkataan 'bom' ketika ditanya oleh pengadu sama ada terdapat barang berbahaya dalam bagasinya ketika mendaftar masuk bagasi serta pemeriksaan keselamatan," kata Chandra dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata pemeriksaan ke atas bagasi suspek bagaimanapun tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang. -- Bernama

bom, KKIA, MAB

Artikel Lain