suria

Duta Malaysia Di Korea Utara Tiba Di KLIA

SEPANG: Duta Besar Malaysia di Korea Utara, Mohamad Nizan Mohamad tiba di tanah air untuk proses rundingan berkaitan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Difahamkan, beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 9.37 pagi dengan pesawat Malaysia Airlines dari Beijing.

Mohamad Nizan yang berangkat dari Pyongyang pada Selasa, sebelum itu transit di Beijing.

Beliau bagaimanapun tidak dapat ditemui media yang menunggu di ruang ketibaan antarabangsa dan bilik kenamaan.

Isnin lalu, Wisma Putra memanggil Mohamad Nizan pulang, manakala Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol pula diminta memberi penjelasan susulan kenyataannya mengkritik kerajaan negara ini.

Kang Chol mendakwa kerajaan Malaysia mempunyai agenda tersembunyi dalam mengendalikan siasatan kes pembunuhan Jong-nam.

Pada 13 Februari lalu, Jong-nam maut apabila diserang dua wanita menggunakan cecair beracun di KLIA2.

Jong-nam tiba di Malaysia dari Macau pada 6 Februari telah mendapatkan bantuan pekerja di kaunter khidmat pelanggan lapangan terbang itu sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya. Beliau bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital berkenaan.- Bernama

Mohamad Nizan, KLIA, Korea Utara

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan