suria

Rakaman CCTV Di KLIA2 Tanggungjawab MAHB - Nur Jazlan

KUALA LUMPUR: Polis diarah untuk menjalankan siasatan ke atas Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagaimana rakaman kamera litar tertutup yang dikaitkan dengan kes kematian Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA2), boleh disiarkan media asing.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, MAHB bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua aspek keselamatan di lapangan terbang termasuk klia2 dan polis hanya membantu.

"Itu yang kita siasat (siapa edar rakaman CCTV), rakaman tersebut mungkin tak daripada polis kerana yang mengurus lapangan terbang ialah MAHB, yang melantik anggota keselamatan ialah MAHB, polis bantuan.

"Polis sedang menyiasat pihak MAHB, siapa yang buat... kerana sudah tentu bukan polis, saya tidak mahu PDRM dipersalah dalam pengedaran video tersebut, pengurusan di bawah MAHB, MAHB kena bertanggungjawab," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis serah tugas Yang Dipertua Pemadam di sini Rabu.

Rakaman berdurasi 2.33 saat di klia2 itu disiarkan sebuah syarikat penyiaran asing itu dan tular di media sosial sejak Ahad lalu.

Pada 13 Februari lalu, Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dilaporkan berada di klia2 untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila secara tiba-tiba seorang wanita menekup mukanya dengan kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.

Jong-nam, yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.-- Bernama

CCTV, KLIA2

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain