suria

Pecah Masuk: Stafoc Kawal Rumah Mayat HKL

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) ditempatkan untuk mengawal rumah mayat di Hospital Kuala Lumpur kerana ada cubaan untuk memecah masuk ke ruang penyimpanan mayat mangsa pembunuhan, Kim Jong-nam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tindakan itu diambil susulan timbul khabar angin mengenai ada usaha pihak tertentu untuk masuk ke kawasan itu.

"Kita tahu ada percubaan untuk memasuki rumah mayat. Jadi kita perlu ambil langkah berjaga-jaga. 

"Ini kes berprofil tinggi, jadi kita tidak akan benarkan sesiapa yang mencurigakan memasuki kawasan itu," katanya pada sidang media di Bukit Aman, Rabu.

Khalid berkata, Bukit Aman mengetahui identiti individu yang cuba memecah masuk ke dalam rumah mayat itu tetapi enggan menjelaskan secara terperinci.

"Kita tahu siapa mereka. Tiada keperluan untuk saya jelaskan lebih lanjut kepada anda," katanya.

Sekurang-kurangnya 20 pegawai dan anggota Stafoc Bukit Aman tiba di Institut Perubatan Forensik Negara HKL dengan menaiki empat kenderaan kira-kira pukul 1.40 pagi Selasa.  

Pasukan khas berkenaan dilihat mengawal sekitar  Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) dengan bersenjata lengkap dan dibantu pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Sementara itu, Khalid berkata Bukit Aman turut menolak cadangan Korea Utara untuk bergandingan dalam menjalankan siasatan berhubung kematian Jong-nam.

"Kita tidak akan bekerjasama. Kita ada undang-undang kita sendiri," katanya.  

Stafoc, HKL

Artikel Lain