PUTRAJAYA: Langkah berani kerajaan melaksanakan perubahan struktur termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi adalah keputusan tepat yang berjaya menambah hasil pendapatan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Kejayaan itu tidak datang dengan mudah serta kerajaan terpaksa membuat keputusan agak sukar dan mencabar," kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika berucap pada Majlis Sanjungan Budi Setulus Ingatan Perbendaharaan Malaysia 2015 & 2016 pada Rabu. Najib berkata langkah melaksanakan GST merupakan langkah berani dan tepat yang didorong 'keberanian serta keazaman politik' dan ia terbukti apabila India dan Arab Saudi menyatakan hasrat untuk melaksanakan GST di negara mereka. "Dua buah negara akan ikut langkah kita, iaitu India akan laksana GST pada April tahun hadapan dengan kadar GST tertinggi iaitu 23 peratus dan Arab Saudi pada kali pertama akan laksana GST juga. "Maknanya, tidak salah kita laksanakan GST. Ia langkah yang tepat," katanya, sambil menambah hasil kutipan GST, yang diperkenalkan pada 1 April 2016 dengan kadar enam peratus, adalah RM41 bilion. Menurut Najib, ramai yang menasihatinya agar tidak melaksanakan GST kerana ia bukan mudah dan Barisan Nasional (BN) akan kalah dalam pilihan raya sekiranya dilaksanakan. Namun, katanya, BN menang cemerlang pada pilihan raya negeri Sarawak tahun lepas meskipun ditiupkan isu GST. "Apabila kita buat GST, hasil negara kita bertambah, walaupun harga minyak merundum, kita boleh meneruskan segala usaha program bantuan untuk kesejahteraan rakyat," katanya. Di bawah rasionalisasi subsidi pula, keputusan kerajaan mengubah dasar dari subsidi pukal kepada subsidi bersasar telah menunjukkan hasil yang begitu baik sekali, kata beliau. "Kalau ada orang kritik BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), sebenarnya rakyat suka pada BR1M. Saya berani menyatakan rata-rata rakyat Malaysia suka dan menyokong BR1M. Apa yang dibuat oleh Kementerian Kewangan melalui BR1M adalah tepat," katanya. Najib berkata Kementerian Kewangan telah melalui evolusi apabila peranannya kini bukan hanya menguruskan dasar fiskal dan kewangan negara tetapi juga menjadi kementerian yang melaksanakan pelbagai program seperti Pusat Transformasi Bandar dan program Pembangunan Keusahawanan. Najib dalam pada itu berkata tanpa asas ekonomi yang kukuh dan mengelakkan ketirisan, sudah pasti sukar untuk negara mencapai kadar pertumbuhan yang diharapkan. "Maknanya dalam kita menguruskan ekonomi, kita mesti melihat perubahan struktur kerana kita tidak berani melakukan, membetulkan kelemahan atau kepincangan tertentu, kita tidak mungkin dapat meletakkan ekonomi negara dalam landasan lebih kukuh. "Ini bererti kemampuan kita untuk bukan sahaja melihat kepada pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan tetapi soal kesejahteraan rakyat juga amat sukar untuk kita tunai,"katanya. Najib yakin berdasarkan trend semasa, kadar pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini adalah lebih tinggi berbanding 4.5 peratus yang dicapai pada suku terakhir tahun lepas.-Bernama