suria

Kes Kevin Morais: Bekas Tertuduh Kedua Tak Tahu Mayat Dalam Tong Ketika Isi Simen

Anthony Kevin Morais.

KUALA LUMPUR: Bekas tertuduh kedua dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, Khamis bahawa dia tidak tahu adanya mayat di dalam sebuah tong ketika mengisi simen ke dalamnya.

G. Gunasekaran, 49, berkata dia mengisi simen ke dalam tong itu pada 4 Sept 2015 dan hanya mengetahui adanya mayat di dalam tong itu pada keesokannya (5 September).

"Pada 4 September itu, saya masukkan simen ke dalam tong. Saya sedar ada mayat itu pada keesokan harinya tapi saya tak lapor pada polis," katanya semasa pemeriksaan balas peguam V. Rajehgopal yang mewakili tiga tertuduh iaitu M. Vishwanath, S. Nimalan, dan S. Ravi Chandaran.

Gunasekaran merupakan saksi pendakwaan ke-54 yang menyambung keterangannya dalam prosiding perbicaraan hari ke-42 pada Khamis.

Penganggur itu menjadi saksi pendakwaan selepas menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan menyembunyikan mayat dan menghapuskan kenderaan Kevin Morais.

Gunasekaran berkata dia mengetahui adanya guni di dalam tong itu namun, tidak tahu ia berisi mayat Kevin Morais.

Saksi itu turut memberitahu bahawa dia membuat pengakuan bersalah di mahkamah sebelum ini kerana menyedari tindakannya mengisi simen ke dalam tong yang berisi mayat telah menyebabkannya terlibat dalam kes itu.

"Saya tahu (ada mayat) keesokannya, tapi tidak beritahu pihak polis. Saya mengaku salah. Saya terima hukuman kerana saya sembunyikan fakta (tidak beritahu polis mengenai mayat di dalam tong)," katanya.

Kepada soalan Rajehgopal mengenai berapa banyak simen yang diisinya ke dalam tong itu, Gunasekaran berkata dia tidak pasti kerana proses mengisi simen itu dilakukan bersama-sama dua tertuduh lain iaitu Nimalan dan Ravi Chandaran.

Lima lelaki - Dinishwaran, 25, Thinesh Kumar, 24, Vishwanath, 27, Nimalan, 24, dan Ravi Chandaran, 46, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais di antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015 di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Dr Kunaseegaran, 54, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan lima lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung pada Jumaat. - BERNAMA

Kevin Morais, kes bunuh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Transgender Maut Ditembak

Artikel Lain