suria

Malaysia Hantar Pulang Militan Bangladesh Terlibat Kes Bunuh

PETALING JAYA: Pihak berkuasa Malaysia menghantar pulang militan warga Bangladesh yang dijatuhi hukuman kerana membunuh bloger di negaranya pada Februari 2013.

Portal berita Bangladesh, Daily Star melaporkan, Redwanul Azad Rana, 34, dijatuhi hukuman mati kerana membunuh Rajib Haider telah dihantar pulang ke Dhaka, lokasi di mana dia ditahan polis negara itu.

Rakannya yang terlibat dalam jenayah itu telah dihantar pulang lebih awal.

Redwanul dikatakan ahli kumpulan militan yang diharamkan, Ansarullah Bangla Team (ABT) di Bangladesh.

Dia antara lapan individu yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah Bangladesh pada Disember 2015 kerana kes pembunuhan bloger yang lantang mengkritik parti politik Islam, Jamaat-e-Islami.

Rajib mati akibat diserang dua lelaki termasuk Redwanul dekat rumahnya di Mirpur pada Februari 2013.

Bagaimanapun pada 2014, Redwanul telah melarikan diri dari Bangladesh dan masuk ke Malaysia.

Polis Bangladesh berkata, Redwanul yang setia kepada militan Negara Islam berkemungkinan meneruskan kegiatannya di Malaysia.

Susulan itu, Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan suspek dihantar pulang ke negaranya pada Rabu.

"Dia ditahan kerana terlibat dalam kegiatan militan termasuk mempengaruhi orang lain untuk menyertai kumpulan itu.

"Dia juga merancang untuk menyertai militan Malaysia, Dr Mahmud Ahmad di Filipina," katanya.
Bangladesh, IS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain