suria

Kes Saman Anwar Terhadap Khairy Selesai

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin selesai pada Jumaat selepas MahkamahTinggi mendengar keterangan 12 saksi.   

Hakim Azizul Azmi Adnan menetapkan 19 Mei depan untuk mendengar hujahan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Khairy dan R. Sivarasa yang bertindak bagi pihak Anwar.

Seramai lima saksi plaintif termasuk Anwar dan tujuh saksi defendan termasuk Khairy telah memberi keterangan dalam perbicaraan itu yang bermula pada 19 September 2016.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, 52, dalam keterangannya berkata dakwaan bahawa Anwar merancang untuk menggulingkan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah tidak berasas.

Saksi kelima plaintif itu berkata tidak pernah dalam mana-mana perbincangan, Anwar menzahirkan hasratnya untuk menggulingkan Dr Mahathir, yang ketika itu menyandang jawatan Perdana Menteri.

Mohamed Azmin berkata selaku Setiausaha Sulit kepada Anwar ketika itu, beliau hadir dalam semua pertemuan dan perbincangan yang diadakan Anwar, yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

"Anwar menganggap Mahathir sebagai 'father' (bapa) dan Anwar banyak bersama Mahathir untuk membangunkan negara," katanya ketika disoal peguam R. Sivarasa dalam perbicaraan kes saman itu.

Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy dan menuntut RM100 juta sebagai ganti rugi kerana mendakwa Khairy, yang ketika itu naib ketua Pemuda Umno, telah mengeluarkan perkataan memfitnah terhadapnya dalam ceramah di Lembah Pantai di sini pada 20 Feb 2008.   

Anwar mendakwa perkataan memfitnah dan klip video bertajuk  'Anwar and kin nothreat' telah dimuat naik dalam beberapa laman web termasuk Malaysiakini.

Sementara itu, semasa ditanya pemberita mengenai Pasukan Petugas Khas kerajaan bagi menjalankan siasatan berhubung kerugian urus niaga matawang asing oleh Bank Negara Malaysia sepanjang 1991 hingga 1993, Anwar berkata beliau bersedia membantu pasukan petugas khas itu. -Bernama

Anwar Ibrahim, Khairy Jamaluddin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain