suria

Dua Ditemukan Rentung Dalam Teksi

NIBONG TEBAL: Dua orang ditemukan rentung di dalam sebuah teksi selepas kereta jenis Proton Persona itu terbakar di KM 2.7 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) menghala ke Batu Kawan, di sini, Sabtu.

Pegawai Perhubungan Media Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang Mohd Azman Hussin berkata pihaknya menerima panggilan pada 8.25 pagi dan sebuah jentera bersama tujuh anggota tiba di lokasi kira-kira 11 minit kemudian.

"Semasa kami sampai di tempat kejadian, api sedang marak dan bomba berjaya memadamkan kebakaran kira-kira 13 minit kemudian," katanya di sini Sabtu.

Beliau berkata sebaik selesai operasi pemadaman, pihaknya mendapati ada dua individu yang sudah rentung di dalam teksi terbabit dan kes diserahkan kepada pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafee Abdul Samad berkata polis masih menyiasat identiti kedua-dua mangsa terbabit yang dipercayai lelaki.

Katanya siasatan mendapati teksi itu didaftarkan atas nama A. Gopal Krishnan yang beralamat di Balik Pulau.
Berdasarkan laporan awal, teksi itu dikesan berhenti di bahu jalan di lokasi berkenaan oleh peronda JSAHMS.

"Anggota peronda itu mendekati teksi tersebut dan ternampak dua lelaki India, masing-masing dalam keadaan berbaring di tempat pemandu serta penumpang depan dengan pintu serta tingkap kenderaan berkunci.

"Saksi cuba mengejutkan mereka tetapi tidak berjaya. Tiba-tiba lelaki itu terdengar bunyi enjin yang kuat dan ternampak api marak dari bahagian enjin dan dia cuba memadamkan kebakaran namun tidak berjaya," kata Shafee.

Beliau berkata kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
rentung, teksi, JSAHMS

Artikel Lain