SERI ISLANDAR: Para penonton yang hadir untuk menyaksikan perlumbaan berbasikal Le Tour de langkawi (LTDL) bagi peringkat keempat di sini pada Sabtu terpaksa lari untuk menyelamatkan diri apabila seorang individu menjerit memberitahu kononnya terdapat bom di dalam keretanya. Difahamkan kereta Mercedes itu yang dipandu lelaki berkenaan dilihat mengekori di belakang para pelumba sebelum ditinggalkan di persimpangan lampu isyarat Bota Kiri kira-kira pukul 11.00 pagi. Pemandu itu kemudiannya kelihatan turut keluar daripada keretanya dan menaiki pula sebuah Proton Wira. "Saya terkejut apabila kereta berkenaan berhenti di tengah-tengah persimpangan jalan sebaik sahaja pelumba terakhir melepasi kawasan berkenaan. "Pemandunya tiba-tiba keluar dari kereta dan menjerit menyuruh penonton menyelamatkan diri kerana terdapat bom di dalam keretanya. "Semua penonton kemudiannya berlari menyelamatkan diri dan pemandu tersebut dilihat turut melarikan diri menaiki kereta lain," kata seorang saksi Zulkifli Mohd Ariffin, 50. Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohamad Zainal Abdullah yang turut berada di lokasi perlumbaan mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya sedang menunggu Unit Pemusnah Bom dari Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia Pulau Pinang bagi memeriksa kereta berkenaan. - BERNAMA