IPOH: Bekas anggota Parlimen Tambun Datuk Yahaya Shafie, 83, meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Jalan Raja Dihilir di sini, Ahad. Anak Allahyarham, Al Yashri, 28, berkata bapanya menghembuskan nafas terakhir di sisi anggota keluarga pada kira-kira 1.27 tengah hari Ahad. "Bapa dimasukkan ke hospital dua minggu lepas untuk rawatan kerana terjatuh di dalam rumah. "Selepas jatuh arwah jadi makin teruk dan doktor maklumkan dia mengalami jangkitan paru-paru," katanya ketika dihubungi Bernama. Al Yashri yang juga Anggota Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Perak berkata, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Jalan Bendahara di sini selepas solat Asar. Bekas pengetua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman itu meninggalkan tiga isteri serta 11 orang anak. Allahyarham menyandang jawatan anggota Parlimen Tambun dari 1986 hingga 1990 selain pernah menjawat jawatan Ketua Umno Bahagian Ipoh Timur dari 1981 hingga 2000 serta pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) pada 80-an. - Bernama