KUALA LUMPUR: Hubungan baik Lembaga Tabung Haji (TH) dan kerajaan Malaysia dengan kerajaan Arab Saudi membolehkan pengurusan jemaah haji Malaysia dijalankan dengan lancar selama ini. Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah berkata kerajaan Malaysia dan TH sering bersemuka dengan kerajaan Arab Saudi di meja mesyuarat untuk terus menambah baik mekanisme pengurusan haji yang diguna pakai. Beliau berkata TH menghargai usaha murni Raja Arab Saudi dan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan kerajaan Arab Saudi yang sentiasa peka dalam soal penambahbaikan urusan haji saban tahun. Johan menarik perhatian bahawa Raja Salman yang berangkat tiba hari ini untuk melakukan lawatan negara empat hari ke Malaysia, sebelum ini pernah memuji sistem pengurusan haji Malaysia sebagai antara yang terbaik di dunia. "Ucapan jutaan terima kasih atas kerjasama yang dihulurkan Raja Salman, kerajaan Arab Saudi, Kementerian Haji Arab Saudi, Muassasah Asia Tenggara dan Muassasah Adilla yang telah banyak membantu kami terutama semasa operasi haji setiap tahun," katanya kepada Bernama. Lawatan negara pertama Raja Salman ke negara ini sejak menaiki takhta pada 23 Januari 2015 itu adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. Pada Sabtu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata perkara berkaitan haji dan kuota di samping usaha memperkukuh kerjasama dalam beberapa bidang lain menjadi agenda utama lawatan itu. Johan berkata kelulusan menambah kuota haji Malaysia menjadi keutamaan pihaknya bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menunaikan rukun Islam kelima itu serta memendekkan tempoh menunggu. "Pendaftaran untuk menunaikan haji bagi rakyat di Malaysia mencecah 2.4 juta orang dan masa menunggu telah mencecah 100 tahun," katanya sambil menambah tambahan kuota yang dihasratkan itu selari dengan penambahan penduduk Malaysia. TH pada 27 Januari lepas menyatakan kuota jemaah haji Malaysia dikembalikan kepada 27,900 orang tahun ini berbanding 22,230 sebelum ini. Tambah Johan, TH juga sedang mengintai peluang membangunkan kompleks penginapan berpusat di Makkah dan Madinah bagi meningkatkan perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia di masa akan datang.