suria

Seleweng Hartanah: Suspek Disyaki Tukar Status Bumiputera Kepada Bukan Bumiputera

KUALA LUMPUR: Enam lelaki termasuk anak serta pegawai khas seorang penjawat awam Johor yang ditahan pada Sabtu kerana disyaki terlibat rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri itu, dipercayai terbabit dalam penukaran status rumah-rumah bumiputera kepada bukan bumiputera.

Menurut sumber, aktiviti penukaran status itu dipercayai dibuat sejak tahun 2013 yang melibatkan beberapa pemaju di Johor sehingga menyebabkan mereka yang layak untuk mendapat rumah status bumiputera tidak mampu untuk membeli rumah.

"Penukaran status itu dilakukan kerana apabila rumah-rumah berstatus bumiputera ditukar kepada bukan bumiputera, harga sesebuah rumah itu akan meningkat sebanyak beberapa kali ganda daripada harga asal.

"Ini sekaligus akan menguntungkan pihak pemaju dan mereka yang terlibat dalam aktiviti itu tetapi yang terseksa adalah masyarakat yang ingin memiliki rumah sendiri," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Sumber berkata apabila penukaran status diluluskan dan dilaksanakan, mereka yang berstatus bumiputera dan masyarakat yang berpendapatan rendah tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Menurut sumber, modus operandi pemaju terbabit untuk menukar status berkenaan adalah dengan menyorokkan hampir 30 peratus kuota yang disediakan untuk pembeli bumiputera daripada senarai dengan mendaftarkan nama pekerja mereka yang mempunyai status bumiputera.

Katanya, pemaju akan membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk menukar rumah-rumah berstatus bumiputera kepada bukan bumiputera dengan alasan rumah-rumah itu tidak berjaya dijual.

"Walhal apabila ditanya pembeli, pemaju akan memberi alasan rumah-rumah berstatus bumiputera telah habis dijual.

"Menerusi maklumat yang dikumpul setakat ini, pemaju akan dikenakan denda pada kadar tertentu dan (wang denda) sepatutnya dimasukkan ke dalam satu tabung khusus yang diwujudkan untuk digunakan bagi tujuan membiayai kemudahan-kemudahan di kawasan perumahan," katanya.

Sumber itu berkata, hanya sebahagian daripada keseluruhan jumlah wang denda itu dimasukkan ke dalam tabung khusus itu manakala bakinya disyaki diselewengkan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi Barnama mengesahkan pihaknya sedang menyiasat kewujudan penipuan dalam penukaran status bumiputera kepada bukan bumiputera.

"Ketika ini SPRM masih dalam proses menggeledah pejabat suspek untuk mendapatkan dokumen-dokumen bagi membantu pasukan siasatan mengumpul lebih banyak maklumat berhubung penipuan tersebut.

"Saya tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan ditangkap berhubung siasatan kes ini," katanya.

Pada Sabtu, dalam satu operasi serentak, SPRM menahan enam lelaki berusia antara 25 dan 50 tahun berkenaan di beberapa lokasi di Johor Bahru. 

Turut ditahan dua orang pemaju, seorang peguam dan seorang orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal itu.

SPRM turut merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen-dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan. 

Selain itu, sebanyak 45 akaun bank milik kesemua suspek melibatkan lebih kurang RM15.5 juta juga dibekukan bagi membantu siasatan. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain