KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Siringan Gubat dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth selepas mengalami serangan jantung pada Sabtu malam. Siringan, 68, yang berada di Ranau ketika itu mengadu mengalami sakit dada dan pemandunya segera menghantarnya ke hospital daerah pada kira-kira pukul 10.30 malam. Pemangku timbalan presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) itu selesai dari menghandiri sebuah majlis sebelum terkena serangan jantung. Salah seorang pembantunya memberitahu bahawa Siringan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paginatan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth. Beliau kemudiannya dilaporkan berada dalam keadaan stabil.