SUNGAI BULOH: Hasil bedah siasat ke atas Thanaseelan Muniandy yang mati ketika dalam tahanan menunjukkan dia mungkin meninggal dunia akibat kecuaian pihak polis dan kakitangan perubatan. Dalam laporan itu, pakar patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Razuin Rahimi berkata penemuan awal mendapati Thanaseelan meninggal dunia akibat keracunan darah kerana ulser gastrik. Thanaseelan, 43, ditemui tidak sedarkan diri dalam lokap di Bukit Sentosa pada 25 Februari dan kemudiannya disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh. Menurut peguam Eric Paulsen, Thanaseelan menghidap penyakit gastrik kronik sebelum ditahan polis. "Ahli keluarganya mengesahkan dia sudah mengalami gastrik dan jika anda lihat dia, dia seorang lelaki bertubuh kurus. Berat badannya kurang 50kg. "Nampaknya tiada unsur jenayah tetapi mungkin akibat kecuaian," katanya di Hospital Sungai Buloh di sini Isnin. Paulsen berkata pakar patologi berkata si mati mengalami kesakitan kronik kira-kira seminggu. "Dengan ulser yang dihidapinya, dia tidak dapat makan dan mula muntah. Itu sebab mengapa dia dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baru pada 24 Februari lalu," kata Paulsen. Beliau berkata tidak dapat dipastikan sama ada Thanaseelan menerima pemeriksaan fizikal yang lengkap oleh doktor di Hospital Kuala Kubu Baru pada 24 Februari atau hanya diberikan antasid untuk melegakan kesakitan tersebut. Tegas Paulsen, Thanaseelan boleh dirawat dengan baik tetapi menambah insiden itu perlu disiasat. "Kita perlu menyiasat jika dia menerima rawatan di hospital itu. Ini kerana selepas rawatan dia dimasukkan semula ke dalam lokap di Bukit Sentosa dan jika anda mengetahui seseorang sedang sakit, dia perlu dirawat di hospital," kata Paulsen. Pemeriksaan dengan hospital mengesahkan Thanaseelan dimasukkan ke wad pada 24 Februari lalu tetapi jabatan pesakit luar tidak boleh mengesahkan sama ada di dibawa ke sana untuk mendapatkan rawatan. Thanaseelan ditahan di Bukit Beruntung pada 21 Februari atas kesalahan pecah rumah dan direman bermula 22 Februari hingga 25 Februari lalu.