suria

Malaysia Bukan Antara 10 Negara Paling Korup - Setiausaha Akhbar PM

Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

PETALING JAYA: Setiausaha Akhbar Perdana Menteri membidas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia merupakan antara 10 negara paling korup di dunia.

Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad menafikan dakwaan bekas perdana menteri itu yang disifatkan sebagai 'harimau tua' sengaja mengeluarkan kenyataan itu demi kepentingan politik.

"Hakikatnya Malaysia adalah negara ke-55 paling tidak korup di dunia seperti dipaparkan dalam senarai terkini Transparency International.

"Jelas sekali, Dr Mahathir sekadar berbohong atau tidak lagi mampu membezakan antara fakta dan rekaan," kata Tengku Sariffuddin dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam Indeks Persepsi Rasuah 2016 yang dikeluarkan oleh Transparency International baru-baru ini, Malaysia berada di kedudukan ke-55 daripada 176 negara.

Malah, Tengku Sariffuddin mempertikaikan tindakan Dr Mahathir yang kini bersekongkol dengan musuh khususnya, bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

"U-turn sebegini oleh Dr Mahathir amat menghairankan. Dulu Kit Siang dikatakan sebagai ancaman kepada Melayu tetapi kini tidak pula. Dulu dikatakan liwat adalah satu jenayah, kini diterima pula. Adakah harimau ini yang sudah lanjut usianya semakin keliru?" soal Tengku Sarifuddin.

Jelas beliau, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar juga mempersoalkan tindakan Dr Mahathir yang berpaling daripada pendiriannya sebelum ini dengan duduk semeja bersama pembangkang dan gemar mencipta isu memburukkan negara berdasarkan laporan media barat.

Justeru, beliau berkata realiti ketika ini menunjukkan rakyat Malaysia tidak mahu lagi mempercayai kata-kata dikeluarkan bekas perdana menteri itu.

"Kata-katanya amat memalukan, sama ada dia berbohong demi kepentingan politik atau sudah nyanyuk sepertimana yang dititahkan Sultan Johor.

"Harimau tua ini lebih baik bersara sepenuhnya," katanya.



Artikel Sebelum

Artikel Lain