KUALA LUMPUR: DRIV, satu aplikasi e-hailing yang akan dilancarkan pada Mac tahun ini, kini berada di peringkat akhir percubaan. Ia merupakan satu proses tempahan kereta, teksi, limosin atau apa-apa bentuk pengangkutan melalui komputer atau gajet mudah alih. Di dalam satu kenyataan akhbar, pihak DRIV berkata, ia turut menyediakan skim perlindungan kemalangan untuk penumpang dan pemandu. "Matlamat utama DRIV adalah bagi menambah baik perkhidmatan e-hailing sedia ada. "Walaupun terdapat beberapa pemain utama yang menawarkan aplikasi e-hailing, namun masih terdapat banyak ruang dan peluang untuk ditambahbaik kerana teknologi adalah sesuatu yang sentiasa berkembang," katanya. DRIV turut membuat tapisan agar hanya mereka yang mempunyai rekod bersih sahaja akan diterima sebagai pemandu. DRIV menyediakan perkhidmatan bagi membolehkan pengguna untuk menempah perjalanan mereka melalui laman web www.driv.my selain boleh dimuat turun di peranti Android dan iOS. - BERNAMA