suria

Kanak-Kanak Setahun Terperangkap Dalam Kereta

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak berusia setahun melalui detik cemas apabila terperangkap di dalam kereta sebelum diselamatkan anggota bomba dalam kejadian di Taman Sri Muda, Shah Alam pada Isnin.

Seramai lapan anggota bomba dikejarkan ke apartmen tersebut kira-kira pukul 12.20 tengah hari Isnin selepas menerima panggilan kecemasan daripada ibu kanak-kanak malang tersebut.

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Noor Fazida Tina Mohamad Noor berkata ibu mangsa dan orang ramai cuba membuka pintu kereta tersebut selama 15 minit sebelum membuat panggilan kecemasan.

Menurut Noor Fazida, ibu mangsa hendak menghantar anak lelakinya berusia tujuh tahun ke sekolah dan membawa bersama kanak-kanak itu.

"Dia meletakkan kanak-kanak itu di tempat duduk hadapan sebelum menutup pintu kereta tersebut.

"Ketika mahu membuka pintu tempat duduk pemandu, sistem kunci automatik kereta telah diaktifkan," katanya.

Noor Fazida berkata ibu mangsa tidak boleh berbuat apa-apa kerana kunci dan dompetnya turut tertinggal di dalam kereta itu.

Ibu mangsa kelihatan tidak keruan ketika bantuan tiba.

"Kanak-kanak itu menangis apabila kami tiba di lokasi kejadian. Namun kami berjaya menenangkannya.

"Kami berjaya menarik kunci itu dengan wayar. Proses itu memakan masa selama 20 minit," katanya.

Noor Fazida berkata kanak-kanak itu berada dalam keadaan ketakutan semasa dibawa keluar dari kereta tersebut.

Namun dia tidak mengalami sebarang kecederaan.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain