suria

Lantik Enam Anak Sabah Dalam Kabinet, Bukti PM Iktiraf Sumbangan Negeri

Musa Aman.

SEMPORNA: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata pelantikan enam anak negeri dalam kabinet persekutuan adalah bukti pengiktirafan yang diberi oleh perdana menteri sedia ada terhadap Sabah.

Justeru katanya tidak timbul isu rakyat perlu menukar kerajaan negeri memandangkan sumbangan Sabah diberi penghormatan tinggi oleh kerajaan pusat.

Tidak perlu ada 'Arab Spring' di sini yang pada akhirnya hanya mencetuskan kacau-bilau, katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Pasar Awam Sejahtera, di sini Selasa.

"Sebelum Arab Spring, negara-negara yang berkenaan kaya dengan minyak dan rakyatnya memiliki pekerjaan bagus termasuk rumah selesa. Adakah orang Semporna mahu situasi begitu? Kita mahu aman dan harmoni," katanya lagi.

Musa turut menyangkal dakwaan pembangkang yang beliau dan kerajaan negeri menganaktirikan Semporna.

"Macam mana saya nak menganaktirikan Semporna? Untuk pengetahuan, pegawai-pegawai kanan saya terdiri daripada orang Semporna, anak Semporna...

ramai yang tidak tahu hubungan baik saya dengan bekas Ketua Menteri Sabah yang juga anak Semporna iaitu Tun Sakaran Dandai.

"Pemimpin-pemimpin Semporna juga kerap menghubungi saya untuk membincangkan pembangunan dan perkara yang baik untuk daerah ini dan penduduknya termasuklah pemberian tanah di Mount Pock dan Nagos," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri berusaha mendapatkan kelulusan tanah di Mount Pock dan Nagos untuk penduduk Semporna.

"Tetapi saya masih dikatakan benci Semporna...," katanya.

Terdahulu, kehadiran Musa sempena lawatan kerja sehari beliau ke daerah ini disambut oleh kira-kira 10,000 penduduk.

Hadir sama tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Tan Sri Pairin Joseph Kitingan, Tan Sri Raymond Tan Shu Kiah dan Datuk Seri Yahya Hussin, serta anggota kabinet Sabah.

Musa turut menasihati penduduk Semporna agar tidak menurut emosi dan terpedaya dengan isu-isu yang dicipta dan dibangkitkan pembangkang.

"Jangan keliru dalam menentukan siapa benar dan siapa salah, atau memilih mana batu dan mana permata," katanya. - BERNAMA

Musa Aman, Kabinet, Sabah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain