PUTRAJAYA: Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 mencatatkan rekod yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya. Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, seramai 565 calon mencatatkan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 dan kira-kira 16,263 calon mendapat CGPA minimum 3.0 dalam peperiksaan tersebut. "Dengan peningkatan peratusan dan jumlah calon yang mendapat CGPA 3.50 ke atas dan 2.75 ke atas, saya menjangkakan wujud peluang yang lebih besar kepada calon STPM 2016 untuk diterima memasuki universiti awam," kata beliau di sini pada Selasa. Pada 2015, seramai 335 calon meraih keputusan CGPA 4.0 manakala 14,263 calon lagi mencatatkan sekurang-kurangnya CPGA 3.0. Secara keseluruhannya seramai 43,235 calon menduduki peperiksaan STPM pada tahun lalu.