suria

Dua Suspek Wanita Kes Bunuh Jong-nam Didakwa Esok

PUTRAJAYA: Dua suspek wanita yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang, dekat sini, Rabu.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menerusi mesej aplikasi WhatsApp mengesahkan bahawa dua wanita asing itu akan dihadapkan di mahkamah pagi esok bagi menghadapi tuduhan.

Polis menahan suspek wanita pertama, Doan Thi Huong, 29, seorang warga Vietnam, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sehari selepas kejadian manakala warga Indonesia, Siti Aishah, 25, ditahan di sebuah hotel di Ampang, Selangor pada 16 Februari lepas.

Kedua-dua wanita itu ditahan reman selama 14 hari mulai 16 Februari lepas bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Jong-nam di klia2 pada 13 Februari lepas dan tempoh reman mereka berakhir Rabu.

Jong-nam, yang merupakan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, berada di klia2 untuk penerbangan ke Macau apabila dua wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Jong-nam, yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Analisis Jabatan Kimia mendapati agen saraf VX digunakan untuk membunuh mangsa.

Sementara itu, pengamal media tempatan dan antarabangsa menunggu di Mahkamah Sepang dan ibu pejabat polis daerah Sepang sejak pukul 8 pagi Selasa bagi mendapatkan maklumat terkini dan sama ada suspek wanita berkenaan akan didakwa. - BERNAMA

kes bunuh, Kim Jong-nam, Korea Utara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain